![IMG_2780](https://bbcsportss.co.uk/wp-content/uploads/2025/02/IMG_2780-678x381.jpeg)
Terengganu FC dalam saingan Piala Shopee musim ini menemui titik noktah apabila mereka tewas kepada BG Pathum United dengan keputusan 3-4 di Stadium BG, Bueng Yitho, Thailand pada Rabu.Skuad Sang Penyu membuka jaringan pada minit ke-68 menerusi Akhyar Rashid yang melakukan skil memukau untuk menewaskan beberapa pemain lawan sebelum merembat masuk bola untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Pisan Dorkmaikaew.
Namun, tidak lama selepas itu, giliran gol pasukan pelawat pula dibolosi apabila Raniel Santana menjaringkan gol penyamaan sebelum memastikan kelebihan milik mereka lima minit kemudian.
Gawang Terengganu FC terus diserang kelab Thailand itu dengan Gakuto Notsuda menggegarkan jaring pada minit ke-83 sebelum Ilhan Fandi menjaringkan gol keempat mereka.
Ketinggalan 1-4 memasuki masa kecederaan tidak mematahkan semangat anak-anak buah Badrul Afzan Razali yang cuba mengikat kedudukan dengan Safawi Rasid menyempurnakan dua sepakan penalti.
Bagaimanapun, masa berbaki tidak mencukupi untuk pasukan Liga Super itu untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata, apatah lagi lolos ke pusingan kalah mati Piala Shopee musim ini.
Keputusan itu sememangnya sukar diterima penyokong Terengganu FC yang beranggapan keputusan mengeluarkan dan menggantikan beberapa pemain hanya mengundang padah buat mereka.
Leave a Reply